TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan
penyerahan sumbangan sebanyak 200 ekor lembu korban sempena sambutan Hari
Raya Aidiladha, di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah Sabah, Kampung Lok
Batik pada Khamis.
Para penerima agihan sumbangan lembu korban terdiri daripada wakil masjid dan surau
kawasan parlimen Tuaran, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi negeri dan
daerah.
Ketika ditemui selepas majlis penyerahan, Hajiji berkata ibadah korban bukan sahaja
melambangkan ketaatan kepada Allah SWT, juga menjadi medium pengukuhan
perpaduan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat.
“Ibadah korban membawa mesej besar dalam memperkukuh semangat kesatuan dan
saling membantu dalam kalangan masyarakat Islam. Hari Raya Aidiladha bukan
sekadar perayaan, tetapi satu penghayatan terhadap nilai pengorbanan, keikhlasan dan
kepedulian”, katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa UMNO Sabah
hanya akan menimbangkan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN 17), Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata,
perkara itu adalah pandangan Bung.
“GRS belum lagi buat sebarang keputusan. Ahli Majlis Tertinggi GRS akan
bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan hala tuju kita dalam PRN
17, termasuk siapa dan parti yang akan menjadi rakan kerjasama, menentukan agihan
kerusi dan lain-lain”, katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid
Jahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan
ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. -pr/BNN