KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menuduh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong mengamalkan “double standard” yang jelas dalam serangan terbarunya terhadap projek keluli Esteel bernilai RM31 bilion.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Moyog, Lee Ka Lik berkata, amat ironik dan hipokrit apabila Chong kini berteriak soal ketelusan, sedangkan semasa era pentadbiran Warisan, janji pelaburan yang jauh lebih besar langsung tidak dijelaskan kepada rakyat.
“Pada April 2019, Ketua Menteri Warisan sendiri mengetuai rombongan rasmi ke China dan menandatangani 12 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM20 bilion, yang ketika itu dilaporkan secara meluas oleh media,” kata Lee dalam satu kenyataan hari ini.
“Tetapi hingga ke hari ini — tiada siapa tahu syarikat mana yang terlibat, projek mana yang telah dilaksanakan, berapa jumlah pelaburan sebenar yang masuk, atau berapa banyak peluang pekerjaan yang diwujudkan. TIADA sebarang laporan awam,” tegasnya.
Sebaliknya, kata Lee, projek Esteel di bawah kerajaan GRS-PH Plus dilaksanakan dengan penuh ketelusan sejak awal lagi.
“Semua orang tahu siapa pelabur Esteel. Menteri YB Datuk Ginger Phoong juga telah secara terbuka menjelaskan mengenai isu moratorium lesen pembuatan dan bekalan gas. Projek ini sedang berjalan mengikut proses perundangan yang sewajarnya,” katanya.
“Perbezaannya amat jelas: GRS-PH Plus membawa masuk pelaburan sebenar dengan ketelusan — bukan sekadar menandatangani MoU untuk “photo-op”.”
Lee berkata, Warisan sebenarnya tidak dapat menerima hakikat bahawa Sabah kini semakin maju di bawah pentadbiran kerajaan sekarang.
“Hakikatnya, Warisan TIDAK DAPAT TERIMA kejayaan yang sedang dikecapi di bawah GRS-PH Plus — kerana mereka sendiri GAGAL membawa pembangunan sewaktu mereka berkuasa,” katanya.
Lee turut melontarkan cabaran terbuka kepada Calvin:
“Jika YB Calvin benar-benar serius soal ketelusan, saya cabar beliau supaya minta partinya sendiri dedahkan sepenuhnya status 12 MoU bernilai RM20 bilion yang ditandatangani oleh Shafie pada 2019.”
“Dan saya juga ingin menasihati YB Calvin: Jangan jadi hipokrit. Jangan cuba sembunyikan hakikat bahawa Shafie sendiri yang ketika itu dengan bangga mengumumkan MoU RM20 bilion itu semasa era pentadbiran Warisan.”-pr/BNN