KOTA KINABALU: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menjelaskan bahawa jentera pilihan raya GRS sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Katanya, beberapa siri kursus di setiap kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah
diadakan bagi menghadapi pilihan raya.
“Apa yang jelas, GRS sudah bersedia. Kita sudah menubuhkan jentera pilihan raya dan kita
telah pun mengadakan beberapa siri kursus untuk menghadapi pilihan raya.
“Bagaimanapun, soal pembahagian jumlah kerusi belum dibincangkan,” katanya selepas
menyempurnakan Program Ibadah Qurban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tuaran
2025 pada Sabtu.
Sempena majlis itu, beliau bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga ADUN Kiulu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin.
Mengenai sambutan Aidiladha, Hajiji berharap Hari Raya Aidiladha ini akan membawa banyak kesedaran kepada rakyat khususnya umat Islam untuk bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kepentingan bersama.
“Ini kerana dalam perayaan Hari Raya Aidiladha ini, pengorbanan bukan melibatkan ternakan sahaja tetapi juga dalam setiap kehidupan kita sebagai manusia ini kita kena bertolak ansur, bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kebaikan kita bersama,” katanya.
“Ini bermakna kita perlu mementingkan perpaduan dan juga masa depan rakyat yang berbilang kaum di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Hajiji menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Haji Noor Kampung
Serusop bersama kira-kira 1,000 jemaah.-pr/BNN