KOTA KINABALU:  Pengedar barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) terkemuka di Malaysia Timur, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) mengumumkan kejayaan perolehan tanah bernilai RM40 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi pembangunan Taman Perindustrian KTC, hab bersepadu terbesar kumpulan ini untuk operasi, logistik dan pembuatan.
Pelaburan itu dijangka mampu memperluas asas operasi KTC sedia ada sebanyak 40 peratus, manakala hasil pendapatan pula dijangka meningkat sebanyak 50 peratus.
“Langkah strategik ini akan melonjakkan perolehan tahunan KTC kepada sekitar RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat terkemuka di Sabah dan seluruh Malaysia Timur.
“Pelaburan strategik ini juga menandakan satu pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan, dan dijangka menyokong rancangan pengembangannya untuk lima tahun akan datang,” kata Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau.
Menurut Dexter Lau, lokasi strategik tanah tersebut terletak di zon perindustrian yang pesat membangun dan mampu menjadi asas kepada pembangunan masa depan KTC dalam bidang pergudangan, infrastruktur logistik, pengangkutan dan kemudahan operasi.
“Perkembangan ini dijangka akan meningkatkan kecekapan operasi, melancarkan keupayaan rantaian bekalan, dan mengukuhkan lagi kehadiran KTC di pasaran sedia ada dan baru di seluruh Malaysia.
“Taman Perindustrian KTC juga bakal menjadi sebuah pusat pengedaran FMCG terbesar di rantau ini, yang direka bentuk untuk berkhidmat secara efisien ke pasaran Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.
“Pelaburan ini merupakan langkah strategik yang meletakkan kami di landasan pertumbuhan mampan dan mampu untuk  menyediakan ruang serta infrastruktur yang diperlukan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat serta memberi khidmat kepada rakan niaga kami dengan lebih berkesan,” kata Dexter Lau lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa perolehan itu adalah selaras dengan misi KTC untuk membina nilai jangka panjang melalui kecemerlangan operasi dan pandangan strategik.
“Taman Perindustrian KTC yang baharu ini akan meningkatkan keupayaan logistik KTC  secara signifikan dan membolehkannya memenuhi permintaan yang meningkat terhadap produk FMCG di pelbagai rantau.
“Perkembangan ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi dan pertumbuhan ekonomi serantau, malah dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pengembangan ekosistem rantaian bekalan yang lebih meluas di Malaysia Timur dan kawasan sekitarnya,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Dexter Lau turut memberitahu bahawa KTC turut memperoleh pendapatan lebih RM1 bilion setakat Jun tahun ini, dan terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh.
Beliau berkongsi bahawa keluasan operasi keseluruhan KTC kini merangkumi 500,000 kaki persegi.
“Dengan pembangunan Taman Perindustrian KTC di atas tanah seluas 15 ekar yang baru diperoleh di KKIP, asas operasi KTC akan meningkat dengan ketara sebanyak 40 peratus, manakala hasil pendapatan dijangka meningkat kepada RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion.
“Kita akan mulakan pembinaan Taman Perindustrian KTC di KKIP secepat mungkin, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM100 juta.

“Taman perindustrian ini dijangka mampu mewujudkan 500 peluang pekerjaan baru dan kita akan memberi keutamaan kepada pengambilan pekerja tempatan dari latar belakang yang kurang berkemampuan kerana ini adalah usaha kita untuk menyokong peranan kerajaan dalam membasmi kemiskinan,” katanya.
Dexter Lau turut mendedahkan bahawa Lembaga Pengarah KTC juga telah meluluskan pelaburan tambahan sebanyak RM10 juta di Sarawak dalam tempoh yang sama.
“Hasilnya, pendapatan KTC dijangka meningkat sebanyak 50 peratus secara keseluruhan di Malaysia Timur, iaitu 40 peratus di Sabah dan 10 peratus di Sarawak m, bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” ujar beliau lagi.
KTC yang tersenarai sebagai sebuah syarikat di Pasaran Utama Bursa Malaysia,
bakal mempunyai 2,000 orang tenaga kerja dalam masa setahun, di seluruh Malaysia dan Brunei sekaligus kekal sebagai antara syarikat terkemuka di Sabah.-pr/BNN