KOTA KINABALU: Warisan budaya masyarakat Murut sekali lagi mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di persada antarabangsa apabila Tarian Magunatip dipersembahkan dengan penuh semangat dan profesionalisme dalam Festival dan Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26, International Istanbul HarmanFolk Folk-Dance Music Festival/Competition, yang berlangsung di Istanbul, Turkiye, dari 29 Mei hingga 1 Jun lalu.
Lebih membanggakan, persembahan memukau ini dibawakan oleh sekumpulan pelajar berbakat dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom, yang bukan sahaja berjaya menarik perhatian penonton antarabangsa, malah diumumkan sebagai Juara Keseluruhan dalam pertandingan tersebut, menewaskan 13 pasukan lain dari pelbagai negara.
Kejayaan ini turut disertai dengan satu lagi pencapaian membanggakan apabila pasukan tersebut turut dianugerahkan Anugerah Persembahan Terbaik (Best Performance Award), sekali gus mengukuhkan reputasi pasukan sebagai antara yang terbaik di peringkat global.
Tarian Magunatip, yang sinonim dengan masyarakat Murut, memerlukan ketangkasan luar biasa dan koordinasi yang tinggi. Penari perlu melompat di antara batang buluh yang diketuk secara berirama — suatu persembahan yang bukan sahaja memukau dari segi visual, tetapi juga mencerminkan kekuatan fizikal, disiplin, dan warisan budaya yang mendalam.
Menurut jurulatih kebudayaan sekolah berkenaan, Siti Faridah Lawadin, kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih para pelajar serta sokongan padu daripada pihak sekolah dan komuniti.
“Mereka berjaya mengatasi 13 pasukan lain dari seluruh dunia dan muncul sebagai juara. Ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah dan Sabah, tetapi juga meletakkan seni tradisional kita di pentas dunia,” katanya.
Tambahnya, penyertaan ini menjadi platform penting dalam memartabatkan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa serta menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda untuk terus mewarisi dan memelihara seni tradisi.
Persembahan hebat itu turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton antarabangsa dan para delegasi kebudayaan yang hadir. Ia secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye melalui pendekatan budaya serta warisan, sekaligus menonjolkan Sabah sebagai antara negeri yang aktif mempromosikan budaya etniknya di peringkat global.
Pasukan dari SMJK Chung Hwa Tenom ini turut berjaya menamatkan dominasi juara terdahulu dari Rusia, yang memenangi edisi pertandingan pada tahun 2024.
Rombongan pelajar bersama jurulatih dan pegawai pengiring selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 1.00 pagi 10 Jun 2025 Mereka diketuai Ketua Kontinjen, Irene Josie Sambang, dan disambut meriah oleh wakil Jabatan Pendidikan Sabah, Pegawai Pendidikan Daerah Tenom, Ahli Lembaga Sekolah, alumni, Pengetua SMJK Chung Hwa, Oou Chu Suan dan suami, serta wakil Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).
Kejayaan ini menjadi bukti bahawa seni budaya warisan mampu menjadi jambatan kepada perpaduan dan kebanggaan rakyat, serta sebagai aset penting dalam mengangkat imej negara di mata dunia. Selain Magunatip tarian kipas dan pencak silat turun dipersembahkan sebagai tarian warisan Malaysia.-pr/BNN