KENINGAU: Seramai 25 orang belia dari sekitar daerah ini telah menyertai Kursus Asas Seni Lukisan Mural anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS) yang berlangsung selama tiga hari, bermula 11 hingga 13 Jun 2025 di Taman Bandukan Riverside Resort.
Program latihan asas ini bertujuan memperkenalkan golongan belia kepada bidang seni mural sebagai satu bentuk kemahiran kreatif yang berpotensi membentuk kerjaya serta menjana pendapatan.
Sepanjang kursus itu, peserta diberi pendedahan teori dan latihan praktikal merangkumi asas lukisan, teknik penggunaan cat serta penghasilan mural secara langsung.
Majlis penyampaian sijil tamat kursus telah disempurnakan oleh Penasihat Kehormat Kelab Belia Keningau, Encik Rafie Robert. Turut hadir, Pembantu Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Keningau, Encik Erzan Bin Abdullah.
Rafie Robert dalam ucapannya menyeru para peserta agar terus memanfaatkan ilmu yang diperoleh sebagai asas untuk menceburi bidang seni secara lebih serius dan profesional.
“Seni mural bukan sekadar hiasan visual, tetapi mampu menjadi medium membina identiti komuniti serta sumber pendapatan jika dikembangkan secara komersial,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan seperti ini dapat membuka ruang kepada belia luar bandar untuk menonjolkan bakat dalam bidang seni visual sekaligus memperkukuh ekonomi kreatif di peringkat tempatan.
“Kursus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Sabah dalam memperkasakan potensi belia melalui bidang seni dan kemahiran kreatif yang relevan dengan kehendak pasaran semasa”, katanya.-pr/BNN