KOTA KINABALU: Usaha menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif terus diambil bagi
memelihara dan memperkasa warisan budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini, kata
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata ia penting bagi memastikan khazanah budaya terus hidup, dihargai dan
diwarisi oleh generasi akan datang.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah, adalah penting untuk kita memastikan budaya
tempatan agar kekal relevan dan difahami oleh generasi masa kini dan akan datang.
Generasi muda bukan hanya pewaris, tetapi penjaga warisan yang akan mencorakkan
masa depan negeri ini.
“Pemeliharaan warisan budaya penting untuk memastikan kesinambungan identiti, nilai,
dan tradisi sesebuah masyarakat. Oleh itu, saya berharap Persatuan etnik di negeri ini
akan terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing agar
tidak pupus begitu sahaja.
“Dalam masa sama, budaya etnik ini juga akan membantu menarik lebih ramai
pelancong datang ke negeri ini. Sudah pasti ini akan membantu usaha kerajaan yang
menyasarkan 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Etnik Sabah sempena sambutan Hari Ulang
Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-74, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri
Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri
Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim
Gunsalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. Turut hadir
isterinya, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata Hari Etnik bukan saja platform untuk memperkenalkan khazanah warisan
etnik yang ada di negeri ini tetapi ia juga medan penting dalam memperkukuhkan
perpaduan, persefahaman dan toleransi antara kaum serta memupuk rasa bangga
terhadap warisan masing-masing.
“Semangatt muhibah dalam kepelbagaian adalah tunjang utama kekuatan rakyat di
negeri ini. Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus menyuburkan nilai
toleransi, saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni, tidak kira latar
belakang etnik atau agama.
“Inilah roh sebenar Hari Etnik Sabah. Semoga sambutan ini menjadi lambang kesatuan
dalam kepelbagaian dan seterusnya memperkukuh semangat kekitaan di bumi Sabah
yang tercinta ini,” katanya.-pr/BNN