KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat menekankan kepentingan memperluas capaian digital kepada semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandardan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, kita yakin usaha ini dapat dipercepatkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Menteri Digital Malaysia, Tuan Gobind Singh Deo di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Katanya, transformasi digital adalah antara komponen utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi Gobind ke Sabah, termasuk menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) Negeri.
Hajiji menyambut baik kunjungan tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada Gobind Singh atas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong agenda digital negeri.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr.Haji Safar Untong, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd.Hanafiah Mohd.Kassim dan pegawai kanan Kementerian Digital Malaysia.-pr/BNN