KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman berkenan menghadiri Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi beliau yang ke-74 di Masjid Negeri pada Khamis.
Majlis penuh berkat itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai tanda penghormatan dan doa bersama untuk kesejahteraan Tun Musa dan kemakmuran negeri Sabah.

Majlis yang diadakan saban tahun ini bertujuan memohon keberkatan, kesejahteraan dan perlindungan Allah SWT kepada Yang di-Pertua Negeri dalam memimpin negeri serta mendoakan kemakmuran berterusan bagi rakyat Sabah secara keseluruhannya.
Tun Musa tiba di perkarangan Masjid Negeri kira-kira jam 6.15 petang diiringi isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin dan disambut oleh para pemimpin negeri serta para jemputan kehormat yang hadir.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmy Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong, Pembantu-Pembantu Menteri dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli Solat Sunat Hajat, sebelum diteruskan dengan bacaan Surah Yassin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Suhaidi Haji Kuanting dan Mufti Kerajaan Negeri, SS Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Solat Isyak berjemaah dilangsungkan kira-kira jam 7.48 malam sebelum para tetamu dijamu dengan hidangan malam yang disediakan khas bagi meraikan keberangkatan TYT.-pr/BNN