BEAUFORT: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd. Shahril Bin Osin menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bahawa 13 mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 tidak perlu dibuang dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Bagaimanapun, beliau menggesa agar Zambry dan Kementerian Pendidikan Tinggi mengambil tindakan lebih bersifat jangka panjang termasuk memindahkan pelajar-pelajar yang terbabit ke universiti di Semenanjung Malaysia atau ke negeri asal masing-masing.
“Kita tidak mahu peristiwa seperti ini menjadi budaya dalam kalangan mahasiswa yang tidak menghormati undang-undang negeri Sabah.
“Jika mereka tidak berminat belajar di UMS dan hanya menjadikan kampus sebagai medan perjuangan politik, lebih baik mereka dipindahkan ke universiti di negeri asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Shahril yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Klias turut mendakwa sebahagian besar pelajar yang terlibat dalam perhimpunan terbabit bukan anak jati Sabah, sebaliknya merupakan mahasiswa dari Semenanjung yang dipercayai dimobilisasi oleh pengaruh parti pembangkang.
“Perhimpunan tersebut jelas memperlihatkan cubaan pihak tertentu memperalatkan mahasiswa bagi mencetuskan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri. Malah, kelibat beberapa pemimpin pembangkang turut kelihatan dalam perhimpunan itu,” katanya.
Beliau menegaskan, jika pelajar terbabit benar-benar serius mahu memperjuangkan isu rasuah, mereka sepatutnya berani bersuara di negeri masing-masing yang turut berdepan kes rasuah besar melibatkan tokoh politik, bukannya menjadikan Sabah sebagai tapak eksperimen politik murahan.
Shahril turut menegaskan bahawa Dr. Zambry perlu bertanggungjawab atas segala isu yang timbul melibatkan UMS termasuk kelemahan penyelesaian masalah asas seperti bekalan air dan kebajikan pelajar.
“UMS perlu diberi perhatian serius. Kita tidak menafikan ada kekangan logistik dan kemudahan, namun KPT tidak boleh membiarkan institusi ini terus dijadikan sasaran kemarahan pelajar luar yang tidak memahami konteks sebenar pembangunan Sabah,” ujarnya.
“Jika pelajar terbabit mendakwa UMS banyak masalah, maka mereka patut mohon pertukaran ke universiti lain. Kita tidak halang, malah itu lebih baik daripada mereka terus berada di Sabah dengan sikap biadab dan mencabar kedaulatan undang-undang negeri,” katanya.
Menurutnya, sekiranya pelajar terbabit benar-benar mahu memperjuangkan agenda anti-rasuah, mereka wajar dihantar pulang dan bersama-sama PMX untuk membersihkan pentadbiran di negeri sendiri.
“Kalau betul-betul mahu lawan rasuah, pergilah berarak di Selangor, Pulau Pinang atau Negeri Sembilan. Rasuah bukan isu yang hanya berlaku di Sabah. Jangan hipokrit,” katanya tegas.
Katanya, insiden seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia turut melibatkan unsur-unsur menghasut, perbuatan mencabar kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan kemungkinan digerakkan oleh pihak yang mahu menjejaskan kestabilan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17) tidak lama lagi.
Shahril turut menyatakan sokongan terhadap komitmen PMX memerangi rasuah secara menyeluruh, namun berharap pendekatan yang sama dilaksanakan secara adil dan tidak bersifat ‘double standard’.
“Kami di Sabah juga menolak rasuah. Tapi kami tolak cara perjuangan yang merosakkan. Tindakan memanipulasi mahasiswa, mempergunakan emosi mereka dan kemudian lari dari tanggungjawab apabila keadaan menjadi tegang, itu adalah pengecut,” katanya.
Beliau juga menyeru semua pihak termasuk pimpinan pembangkang agar tidak lagi menjadikan institusi pengajian tinggi seperti UMS sebagai medan propaganda politik, sebaliknya menghormati peranan universiti sebagai tempat menimba ilmu dan mencetak pemimpin masa depan yang matang dan beretika.
“UMS adalah kebanggaan Sabah. Jangan cemarkan reputasinya dengan agenda luar. Kita mahu mahasiswa bebas berfikir, tapi jangan sampai terjebak menjadi alat kepada kepentingan politik yang menghancurkan masa depan mereka sendiri,” tegasnya.-pr/BNN