SANDAKAN: Keprihatinan terhadap nasib penduduk yang ditimpa musibah terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa ribut yang melanda Kampung Batu 16 Gum-Gum pada Selasa.

Dalam kejadian ribut yang berlaku petang semalam, rumah milik Puan Normawati Amir mengalami kerosakan apabila pokok kelapa sawit tumbang menimpa bahagian atap, jendela dan siling rumah.

Rombongan dari Pusat Khidmat ADUN Dilantik diketuai oleh Naib Pusat Khidmat itu,
Encik Viktor Chu Dulay telah menziarahi mangsa pada Rabu dan menyampaikan sumbangan Jaffari bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Ketua Wanita, Puan Walhamni Djahila, Setiausaha, Encik Samuri Saka, Ketua Penerangan, Encik Wakiman Samizan dan Ahli Jawatankuasa, Encik Mahadir Abd Mantap.

Menurut Viktor, sumbangan yang disampaikan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan ADUN Dilantik untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya dalam situasi kecemasan dan bencana.

“Jaffari tidak dapat hadir kerana urusan rasmi, namun beliau menitipkan pesanan agar bantuan segera disalurkan dan kebajikan mangsa diberi perhatian.

“Ini adalah bukti keprihatinan beliau terhadap nasib rakyat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keselamatan tempat tinggal,” katanya.

Sementara itu, Normawati melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan ADUN Dilantik yang bertindak pantas menghulurkan bantuan.

“Saya sangat berterima kasih atas kunjungan daripada kakitangan Pusat Khidmat ADUN Dilantik dan sumbangan yang diberikan. Ianya dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga dalam menghadapi musibah ini,” katanya.-pr/BNN