SANDAKAN: Keprihatinan pemimpin terserlah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam tampil menghulurkan bantuan kepada sebuah van yang membawa rombongan guru dari Tuaran yang mengalami masalah tayar bocor di tepi jalan, petang tadi.

Kejadian berlaku berhampiran Simpang Sapi Nango, ketika Jaffari dalam perjalanan pulang ke Sandakan dari Kota Kinabalu bersama rombongannya.

Membantu…Datuk Jaffari Waliam dan rombongannya membantu van membawa rombongan guru yang mengalami masalah tayar.

Van berkenaan membawa sekumpulan guru yang juga dalam perjalanan menuju ke Sandakan apabila kenderaan mereka mengalami kerosakan tayar dan terpaksa berhenti di bahu jalan.

“Kami terlihat sebuah van di tepi jalan dan apabila mendekati, dimaklumkan tayarnya bocor. Memandangkan ketika itu cuaca juga tidak begitu baik, kami tidak teragak-agak untuk berhenti dan membantu,” kata Jaffari ketika dihubungi.

Tindakan pantas beliau dan pasukannya turut dibantu oleh seorang pemandu lori yang kebetulan berada di lokasi kejadian dan turut sama menghulurkan pertolongan.

“Saya berterima kasih kepada pemandu lori yang turut sama menunjukkan rasa prihatin. Ini adalah semangat yang harus terus kita hidupkan dalam masyarakat — saling bantu-membantu tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Jaffari berkata, insiden itu menjadi peringatan kepada semua untuk sentiasa berwaspada dan memastikan keselamatan kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh, terutama melibatkan kumpulan seperti para guru yang berperanan penting dalam pembangunan pendidikan negara.

“Sebagai pemimpin masyarakat, kita harus sentiasa bersedia untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Tahun baharu Hijrah ini patut menjadi medan untuk kita memperkukuh nilai murni dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Rombongan guru tersebut kemudian meneruskan perjalanan ke Sandakan setelah masalah berjaya diselesaikan dengan bantuan bersama.

Tindakan Jaffari mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih daripada para guru yang terlibat.-pr/BNN