TAMPARULI – Ketua Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Toboh Baru Keningau, Elder Aisey Talin, bersama Diakones Jitta Anna Gabriel dan Diakonese Rosemarie Benjamin Gitang telah merakam detik kebersamaan yang penuh makna selepas berjaya menawan puncak Bukit Perahu, salah satu lokasi pendakian popular di daerah ini.

Pendakian santai yang diadakan baru-baru ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah menjadi ruang untuk mempererat hubungan rohani, menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan dan menyemarakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti gereja.

Dengan semangat kebersamaan, kumpulan kecil ini menempuh laluan semula jadi Bukit Perahu sambil menghirup udara segar dan menghargai panorama ciptaan Ilahi yang memukau. Kejayaan menawan puncak bukit menjadi simbol kekuatan iman dan semangat, serta mendorong kepada kehidupan yang lebih seimbang dari segi fizikal dan rohani.

Inisiatif sebegini bukan sahaja memperkukuh jalinan persaudaraan dalam kalangan pemimpin gereja, malah menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menghargai alam sekitar serta mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat dalam suasana yang harmoni.

Bukit Perahu, dengan ketinggian sekitar 270 meter dari paras laut, memerlukan kira-kira 1,106 langkah untuk sampai ke puncaknya – satu cabaran ringan yang membuahkan kepuasan tersendiri bagi pendaki dari pelbagai peringkat umur.-pr/BNN