KENINGAU, — Persembahan kebudayaan tradisional Sumayau Magunatip mencuri tumpuan pengunjung sempena Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Sabah 2025 Zon Keningau dan The Crocker Range Festival Season 8, yang berlangsung meriah di Dataran Keningau, baru-baru ini.

Acara penuh warna-warni itu dipersembahkan oleh Kumpulan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS) dan Persatuan Belia dan Beliawanis Kampung Buang Sayang, Bingkor, sebagai simbol perpaduan serta penghayatan budaya etnik yang masih utuh di pedalaman Sabah.

Turut hadir memberi sokongan, Timbalan Presiden KGNS, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles, yang turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen golongan belia dalam memelihara identiti budaya warisan nenek moyang.

Majlis perasmian karnival berprestij ini disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah merangkap ADUN Sook, Datuk Ellron Alfred Angin, yang hadir mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Menurut penganjur, objektif penganjuran program ini adalah bagi memperkasakan usahawan tempatan melalui platform PMKS, di samping mempromosikan seni budaya tempatan sebagai aset pelancongan berimpak tinggi.

Pelbagai pengisian lain turut memeriahkan festival ini termasuk pameran usahawan mikro, demonstrasi makanan tradisional, pertandingan seni kreatif, serta persembahan pelbagai etnik dari seluruh pedalaman Sabah.

Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan budaya, malah membuka ruang jaringan niaga serta kerjasama komuniti rentas etnik di negeri ini.-pr/BNN