KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Annuar Ayub Aman, menyifatkan Pesta Kaamatan yang diraikan di Kampung Gaulan, peringkat Kawasan Rukun Tetangga (KRT), bukan sekadar acara kebudayaan, tetapi lambang kesatuan, identiti dan nilai hidup masyarakat Sabah yang terus subur dalam sanubari rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mini Kaamatan di kampung berkenaan yang turut disertai oleh penduduk dari pelbagai kampung sekitar.

“Pesta ini bukan hanya hiburan. Ia adalah refleksi akar budaya, semangat gotong-royong dan keharmonian masyarakat pelbagai suku kaum. Dari paluan gong hingga tarian sumazau, semuanya menyerlahkan keunikan yang wajar kita pelihara,” katanya.

Acara yang diadakan dalam suasana mesra dan meriah itu diserikan dengan pelbagai aktiviti berunsur tradisional termasuk persembahan kesenian, pertandingan pakaian etnik, serta jamuan makanan tradisi, memperlihatkan komitmen masyarakat dalam memelihara adat dan warisan.

Annuar turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan barisan belia kampung, yang menurutnya berjaya menjadikan Kaamatan kali ini sebagai satu platform perpaduan yang berimpak dan menyatukan komuniti setempat.

“Mini Kaamatan ini adalah ruang inklusif yang menghubungkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Kita harus terus menyuburkan budaya ini agar generasi muda tidak terputus dari jati diri mereka,” tambah beliau.

Sambutan turut dihadiri oleh pemimpin masyarakat, tokoh adat dan pengunjung dari luar yang hadir bersama-sama menyemarakkan warisan budaya Kadazan Dusun Murut (KDM) yang kian mendapat perhatian dan penghargaan dalam kalangan generasi muda masa kini.-pr/BNN