KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Annuar Ayub Aman merakamkan rasa syukur dan penghargaan kerana diberi peluang merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Keningau 2, sambil menyifatkan pertemuan tersebut sebagai platform penting memperkukuh kolaborasi pendidikan antara warga pendidik dan ibu bapa.
“Ini satu penghormatan besar buat saya untuk bersama-sama dengan guru, ibu bapa dan komuniti sekolah dalam usaha memperkukuhkan kerjasama demi kecemerlangan pendidikan anak-anak kita,” katanya.
Annuar menegaskan bahawa PIBG bukan sekadar satu organisasi rasmi, tetapi merupakan nadi penting yang menyatukan suara dua elemen terpenting dalam dunia pendidikan — ibu bapa dan guru — demi memastikan murid mendapat peluang pembelajaran terbaik.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat kebersamaan, keikhlasan dan sokongan berterusan, SK Pekan Keningau 2 mampu melakar kecemerlangan di pelbagai peringkat.
“Saya percaya, jika kita terus bersatu hati, SK Pekan Keningau 2 akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang dalam mendidik generasi pewaris masa depan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Annuar turut menyampaikan ucapan tahniah kepada pihak sekolah atas penganjuran mesyuarat yang tersusun, serta ucapan terima kasih atas undangan yang diberikan.
Beliau berharap segala resolusi dan perancangan yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut akan dapat dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat semua murid.-pr/BNN