KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu pengamal media menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.
Beliau berkata kejayaan dan infomasi pelaksanaan dasar-dasar kerajaan ini turut bergantung kepada peranan penting media dalam menyampaikan maklumat secara jelas dan berkesan kepada rakyat.
Dalam konteks pembangunan negeri katanya, kerajaan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang memanfaatkan rakyat dan mempercepatkan kemajuan Sabah menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Sebagai pihak yang mempunyai jalinan kerjasama serta hubungan erat dengan pihak kerajaan, media turut berfungsi dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar-dasar pembangunan kerajaan negeri khususnya di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ.
“Justeru, saya berharap kerjasama strategik ini terus dipertingkatkan dan hubungan baik antara kita semua diperkukuhkan untuk membantu kerajaan menyebarluaskan maklumat penting kepada rakyat berkaitan agenda pembangunan dan hala tuju kerajaan negeri.
“Laporan media juga membantu kerajaan mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi serta rintihan rakyat. Sudah tentunya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan laporan dan liputan seperti ini daripada pengamal media – sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat,” katanya sempena Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2025 di Grand Ballroom Magellan Sutera, di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau turut berharap agar media sentiasa memainkan peranan penting sebagai penyedia maklumat yang dipercayai, penyampai berita yang sahih dan juga platform untuk memperoleh info yang lebih cepat dan tepat kepada masyarakat.
Katanya, Kinabalu Press Awards yang dianjurkan Persatuan Wartawan Sabah dengan kerjasama kerajaan negeri dan penaja lain adalah untuk mengiktiraf dan menghargai komitmen serta keupayaan para pengamal media di negeri ini.
“Majlis ini juga mampu menjadi platform terbaik bagi mendorong para pengamal media untuk lebih bersemangat, fokus dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugasan yang lebih telus serta beretika,” katanya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan tidak pernah mengabaikan peranan penting media dalam masyarakat dengan memberikan sokongan berterusan kepada program seperti Majlis KPA ini melalui sumbangan dari segi tajaan kewangan.
“Kerajaan negeri amat menghargai dan memahami keperluan ini, malah bantuan tajaan juga meningkat setiap tahun.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pemenang, teruskan usaha cemerlang dan jadikan kejayaan ini sebagai pemangkin untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat melalui laporan berita yang berwibawa dan beretika,” katanya.-pr/BNN