SEMPORNA: Regatta Lepa Semporna, pesta tradisional ikonik suku kaum Bajau serta tarikan pelancongan tahunan utama bagi negeri ini, telah disenaraikan dalam Kalendar Pelancongan Sabah tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Lebih istimewa, tahun ini merupakan kali ke-30 tahun pesta Regatta Lepa Semporna dianjurkan sekaligus membuktikan keteguhan komitmen masyarakat Semporna dalam memartabatkan warisan budaya mereka.

“Dengan penyenaraian pesta ini dalam kalendar pelancongan, diharapkan acara ini akan mencapai tahap baharu dan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang dan merasai kemeriahannya,” katanya semasa majlis penutupan Regatta Lepa Semporna di Padang Bandaran di sini malam ini.

Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew.

“Menerusi Regatta Lepa, kita dapat memperkenalkan keindahan budaya masyarakat Bajau dan usaha pemeliharaan warisan maritim kepada para pelancong dari seluruh dunia,” katanya.

Ketua Menteri turut menyatakan bahawa Regatta Lepa tahun ini akan menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan lepa tradisi, pengibaran Sambulayang, penobatan Ratu Lepa dan penganugerahan Tokoh Regatta Lepa.

Beliau juga mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran acara Igalthon yang menyaksikan persembahan tarian tradisional Bajau dikenali sebagai Igal-Igal berlangsung selama satu jam tanpa henti melibatkan penari-penari dari pelbagai kumpulan budaya dan komuniti.

Acara ini telah dimasukkan kedalam Malaysia Book of Records sebagai persembahan tarian Igal-Igal terpanjang pada 21 Jun lalu.

“Memartabatkan khazanah budaya dan warisan etnik negeri ini merupakan salah satu elemen utama yang menjadikannya produk pelancongan yang popular. Ini kerana Sabah merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai etnik dan budaya.-pr/BNN