KENINGAU: Pasukan Nangkalas Pantung B yang menampilkan aksi bertenaga, muncul juara dalam Pertandingan Tarik Tali Wiramuda STARSABAH Bahagian N.40 Bingkor yang berlangsung meriah di Kampung Liau Laut, di sini, pada 29 Jun lalu.
Kejohanan yang sarat dengan semangat kesukanan itu menyaksikan persaingan sengit daripada 9 pasukan hebat termasuk penyertaan khas dari pelbagai daerah seperti Tenom, Sook, Nabawan, Tambunan, Sipitang, Kota Kinabalu, Ranau, Kudat, Lawas, Papar dan Kota Marudu.
Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Ketua Wiramuda STARSABAH N.40 Bingkor, Florian Illon, yang turut menyeru agar sukan tradisional terus dimartabatkan sebagai medium membentuk jati diri, memupuk semangat perpaduan serta melatih kepimpinan dalam kalangan generasi muda rentas daerah.
Turut hadir memberi sokongan ialah barisan kepimpinan Wiramuda Bahagian termasuk Mohd Arif Zakaria (Penerangan Wiramuda), Mohd Nizam Yahya dan Harizal Hassan.
Keputusan Rasmi Pertandingan:
Johan: Nangkalas Pantung B
Naib Johan: Tombiruoh
Tempat Ketiga: Anak Kampung
Tempat Keempat: Tenom B
Pasukan juara membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala dan medal, manakala naib johan menerima RM700, piala dan sijil. Pemenang tempat ketiga menerima RM500, piala dan sijil, sementara tempat keempat membawa pulang RM400, piala dan sijil.
Pertandingan yang berlangsung hingga jam 5 petang itu meriah dengan sorakan penyokong yang hadir dari pelbagai daerah, membuktikan sukan tradisional ini masih mendapat tempat dalam hati masyarakat.
“Ini bukan sekadar pertandingan. Ini adalah simbol kekuatan belia kita – bersatu, berani dan berwawasan,” tegas Florian dalam ucapan penutupnya.
Penganjuran kejohanan ini turut mendapat kerjasama erat daripada komuniti setempat yang secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.-pr/BNN