KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mudi Dubing yang mendesak pemimpin berdepan isu integriti segera berundur disifatkan sebagai bersifat hipokrit dan berselindung di sebalik moral politik yang berat sebelah.

Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Cawangan Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said berkata, Warisan sendiri tidak bebas daripada sejarah melindungi pemimpin mereka yang berdepan pelbagai persoalan integriti dan moral ketika berkuasa dahulu.

“Kalau Warisan benar-benar berprinsip dan bersih seperti yang digambarkan oleh Mudi Dubing, mengapa ketika mereka memerintah dahulu, pemimpin yang jelas berdepan isu integriti tidak ditegur dan dilindungi seolah-olah tiada apa yang berlaku?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mudi yang disiar oleh sebuah portal, mendakwa alasan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menafikan penglibatan dalam kes rasuah adalah “dangkal” dan tidak berasas.

Jerry turut membidas tuduhan bahawa pemimpin yang mempertikaikan bukti berbentuk video sebagai dimanipulasi AI seolah-olah berniat memperbodohkan rakyat Sabah.

“Saya ingin mengingatkan saudara Mudi, kita masih berada dalam negara yang menjunjung prinsip keadilan. Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah. Kenyataan seperti itu seolah-olah mahu menghukum lebih awal sebelum proses perundangan selesai,” tegasnya.

Beliau juga mempertikai niat Warisan yang dilihat pantas ‘menghukum’ pihak lawan yang belum disabitkan kesalahan, sedangkan sewaktu pemimpin mereka sendiri berdepan siasatan, parti itu cepat pula mempertahan dan menuduh konspirasi politik.

“Apakah itu bukan satu bentuk sandiwara politik yang memperalatkan isu integriti secara terpilih demi keuntungan sendiri?” soal Jerry.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Mudi sebagai cubaan Warisan menangguk di air keruh susulan pertuduhan terhadap dua ADUN Sabah – Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Datuk Dr. Yusof Yaacob (Sindumin)-serta ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau Albert Tei, yang kini berdepan pertuduhan berkaitan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah.

“Saya tidak mempertahankan mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah, tetapi saya membantah keras cubaan menjadikan kes ini sebagai peluru politik untuk membina persepsi negatif terhadap kerajaan atau parti tertentu sebelum proses perundangan selesai,” ujar Jerry.

Beliau juga menempelak kenyataan Mudi yang menyifatkan rakyat Sabah sudah dikhianati dan menuntut kejujuran, bukan ‘sandiwara’.

“Jika mahu bercakap soal kejujuran, Warisan sepatutnya memulakannya dari rumah sendiri. Jangan seolah-olah mahu menjadi hakim moral hanya apabila berdepan pihak lawan,” katanya.

Dalam pada itu, Jerry menyeru semua pihak, termasuk pemimpin politik pembangkang, agar menghormati proses undang-undang dan tidak menghasut persepsi awam sebelum mahkamah membuat keputusan.

“Yang salah tetap salah, biar mahkamah tentukan. Tetapi jangan kerana mahu kelihatan mulia di mata rakyat, kita bercakap seolah-olah kita tidak pernah bersalah,” katanya.-pr/BNN