KENINGAU: Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik terus menyerlah apabila menyampaikan sumbangan kepada keluarga mendiang Tina Dingkai yang baru-baru ini kehilangan ahli keluarga tersayang.
Sumbangan berbentuk bakul makanan dan bantuan kewangan itu diserahkan kepada isteri Ustaz Jahudi @ Marwan Juman, yang mewakili waris mendiang, sebagai tanda sokongan moral dan solidariti wakil rakyat terhadap penduduk yang berdepan saat duka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Merampong, Said Siapan, menzahirkan penghargaan kepada Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri atas keprihatinannya yang disifatkan sebagai pemimpin dekat di hati rakyat.
“Sumbangan ini amat bermakna kepada keluarga arwah. Ia bukan sahaja meringankan beban, malah memberi kekuatan dan semangat untuk terus tabah menghadapi kehilangan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan Robert yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat tanpa menunggu permintaan, mencerminkan nilai kepimpinan berjiwa rakyat yang tulus dan bertanggungjawab.
Katanya, dalam suasana dunia yang semakin kompleks dan mencabar, kehadiran pemimpin akar umbi yang turun padang dan menyantuni rakyat secara langsung amat dihargai serta memberi kesan positif kepada komuniti setempat.
“Kami mendoakan agar Robert terus dikurniakan kesihatan dan kekuatan dalam meneruskan khidmat untuk masyarakat Bingkor yang sentiasa memerlukan pembelaan,” ujarnya.-pr/BNN