KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin hari ini menyuarakan keperluan agar peruntukan tambahan 2025 diagihkan secara lebih saksama dengan memberi tumpuan khusus kepada keperluan asas infrastruktur di kawasan luar bandar, khususnya di Nabawan.

Dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2025) di Dewan Undangan Negeri Sabah, beliau menyambut baik langkah kerajaan negeri membentangkan bajet tambahan yang disifatkan mencerminkan kestabilan kewangan dan keupayaan Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam mengurus tadbir kewangan negeri dengan cekap.

“Peruntukan tambahan ini adalah amat wajar dan perlu dalam menghadapi cabaran semasa termasuk konflik geopolitik global, pasca pandemik serta ketidaktentuan ekonomi dunia. Namun setiap ringgit yang dibelanjakan perlu dirasai impaknya oleh rakyat hingga ke ceruk pedalaman,” katanya.

Abdul Ghani menarik perhatian kerajaan agar memastikan agihan bajet tambahan turut menyentuh keperluan mendesak di Nabawan, antaranya naik taraf jalan-jalan bekas balak yang menjadi laluan utama penduduk luar bandar.

Beliau turut menekankan pentingnya pelaksanaan projek bekalan air bersih melalui sistem alternatif seperti paip graviti dan telaga tiub, serta penyediaan bekalan elektrik kepada kampung-kampung yang masih belum menikmati kemudahan asas tersebut.

“Kita tidak mahu rakyat terus terpinggir hanya kerana tinggal di pedalaman. Projek bekalan air dan elektrik mesti diperluas, dan keutamaan harus diberi kepada kampung yang masih belum mendapat akses kepada kemudahan asas ini,” tegas beliau.

Beliau turut menggesa agar sebahagian daripada peruntukan tambahan tersebut disalurkan bagi menyelesaikan projek-projek tertangguh khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur asas seperti bangunan pentadbiran, penyelenggaraan jalan pertanian serta saliran sungai yang sering dilanda banjir.

Abdul Ghani juga mempersoalkan kadar pelaksanaan projek yang rendah meskipun peruntukan sudah diluluskan, selain menzahirkan kebimbangan terhadap berlakunya ketirisan dalam pelaksanaan projek yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Peruntukan yang diluluskan mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan yang cekap. Jangan hanya cantik di atas kertas, tetapi gagal di peringkat pelaksanaan,” katanya.

Untuk memastikan ketelusan dan keberkesanan penggunaan peruntukan tambahan tersebut, beliau mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemantau pelaksanaan perbelanjaan tambahan di bawah Pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri.

“Jawatankuasa ini perlu memantau prestasi kementerian dan jabatan agar dana tambahan dibelanjakan secara amanah, adil dan memberi impak terus kepada rakyat,” tegasnya.

Abdul Ghani turut mencadangkan agar sebahagian bajet tambahan disalurkan untuk merancakkan pembangunan ekonomi di peringkat akar umbi, seperti program bantuan kepada usahawan mikro dan perusahaan kecil sederhana (IKS) di kampung dan kawasan pedalaman.

Beliau percaya dengan bantuan modal pusingan, latihan kemahiran dan sokongan pemasaran, ekonomi keluarga dapat diperkukuh, seterusnya menyumbang kepada pendapatan negeri.

“Ini bukan hanya tentang ekonomi negeri, tetapi juga tentang maruah rakyat pedalaman yang mahu berdikari dan maju bersama,” katanya.

Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2025) dan berharap agar bajet tambahan ini benar-benar membela rakyat luar bandar yang selama ini dahagakan perhatian.

“Kita bersaing sihat dalam gelanggang PRN17 yang bakal menjelma, tetapi dalam dewan yang mulia ini, perjuangan kita adalah untuk rakyat yang kita wakili bersama.

“Semoga peruntukan tambahan ini dimanfaatkan sebaiknya demi kemajuan Sabah yang kita cintai,” katanya.-pr/BNN