KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim menegaskan bahawa DUN Limbahau bukan sahaja tidak dipinggirkan, malah telah menikmati limpahan pembangunan hasil keprihatinan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Berucap membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini, beliau menyatakan sokongan padu terhadap RUU itu kerana ia penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran dan pelaksanaan pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan.

“Ini bukan rutin tahunan, tapi keperluan mutlak untuk memastikan janji kepada rakyat dapat terus ditunaikan,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun berkhidmat, pelbagai projek pembangunan telah berjaya dilaksanakan di Limbahau, membuktikan bahawa kawasan itu tidak dipinggirkan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Katanya, antara projek utama yang diketengahkan termasuk menaik taraf jalan Manggis-Kaiduan-Tampasak sepanjang 17 kilometer, yang kini hampir siap sepenuhnya dan memberi manfaat kepada ribuan penduduk dari kampung-kampung sekitarnya.

“Ini bukan cerita retorik, tapi kisah nyata. Ini bukan fantasi, tapi manifestasi sebenar kerajaan yang prihatin, bergerak seiring gagasan besar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, (SMJ)”, tegasnya.

Beliau turut menghargai pelaksanaan projek menaik taraf jalan raya Vasai-Mikik-Simpudu yang telah lama dituntut penduduk selama lebih 40 tahun dan kini sedang giat dibangunkan di bawah projek KENARI.

Katanya, isu liputan internet luar bandar turut diberi perhatian serius. Empat menara telekomunikasi baharu telah dibina di kawasan Limbahau hasil kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Juil turut menzahirkan penghargaan atas bantuan kerajaan negeri menyiapkan Sekolah Menengah St. Joseph, Papar yang sebelum ini tertangguh akibat kekangan kewangan.

“Sekolah mubaligh ini tiada peruntukan khusus, tapi hasil keprihatinan Ketua Menteri, sekolah ini kini siap sepenuhnya dan digunakan oleh pelajar serta guru,” katanya.

Menyentuh isu bekalan air, beliau memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Papar daripada 40 juta liter sehari (MLD) kepada 80 MLD sedang dijalankan dan dijangka dapat menyelesaikan isu air di kawasan Papar dan sekitarnya apabila siap tahun depan.

Menurutnya, satu lagi sejarah manis tercipta apabila sebuah dewan serbaguna baharu berjaya disiapkan di Kampung Marahang, khusus untuk kegunaan rakyat DUN Limbahau, hasil peruntukan kerajaan negeri.

Juil turut menepis tuduhan dan tohmahan kononnya beliau gagal membawa pembangunan ke kawasannya dan menyifatkannya sebagai serangan politik tidak berasas.

“Saya anggap tuduhan liar itu sebagai asahan semangat, bukan racun perjuangan. Selagi diberi mandat, saya akan terus bekerja. Rakyat adalah keutamaan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan rakyat Limbahau sebagai penyuluh semangat dan tulang belakang perjuangannya sebagai wakil rakyat.

Juil turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hajiji atas kepimpinan yang dekat dengan rakyat, serta menyeru rakyat Sabah mengekalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan dan kemajuan negeri.

“Di bawah Hajiji, Sabah melangkah ke fasa pembangunan yang lebih tersusun dan menyeluruh seperti yang digariskan dalam kerangka Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya yang mengakhiri ucapan dengan serangkap pantun mengajak rakyat mengekalkan kerajaan GRS.-pr/BNN