*Siaran Media*

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Haji Arif menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana ‘terpaksa’ ekoran skandal rasuah sebagai satu tuduhan liar, tidak berasas dan berniat jahat.

Menurutnya, dakwaan kononnya GRS terpaksa meneruskan kerjasama dengan PH demi menyelamatkan pemimpin mereka yang terpalit dengan kes mahkamah hanyalah usaha terdesak pihak pembangkang untuk meraih perhatian politik dengan menanam persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Saya ingin menyanggah keras kenyataan Munirah yang mengaitkan kerjasama GRS dan PH dengan kononnya wujud kes rasuah. Tuduhan seperti ini tidak hanya tidak bertanggungjawab, malah satu penghinaan terhadap kematangan politik pimpinan GRS, khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan, keputusan untuk membentuk kerjasama strategik antara GRS dan PH bukan berlaku secara tergesa-gesa atau kerana tekanan politik, sebaliknya berasaskan semangat setiakawan, kepercayaan dan kesedaran akan keperluan untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah.

“Kita tidak boleh menafikan peranan PH yang berdiri teguh menyokong kerajaan negeri ketika berlakunya cubaan rampasan kuasa dalam insiden ‘Langkah Kinabalu’.

“Tanpa bantuan dan kepercayaan mereka pada ketika itu, kerajaan GRS mungkin telah tumbang. Ini bukan soal ‘ada kes’ atau ‘terpaksa’, ini soal menghargai jasa dan mengekalkan kestabilan negeri,” katanya.

Norazlinah menyifatkan kerjasama itu sebagai manifestasi politik matang dan kenang budi — satu pendekatan yang menurutnya tidak dipraktikkan oleh parti Warisan, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan PH dalam PRN Sabah 2020, tetapi memilih untuk bertanding secara bersendirian dalam PRU15 tanpa mempedulikan semangat kebersamaan yang pernah terjalin.

“Apa yang berlaku pada PRU15 menunjukkan rakyat tidak menyokong politik oportunis. Warisan hanya menang tiga kerusi Parlimen, dan ini jelas isyarat rakyat yang menolak parti yang gagal memupuk kerjasama dan hanya mementingkan agenda sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai dua ADUN GRS yang kini sedang menghadapi pertuduhan berkaitan permohonan lesen mineral, Norazlinah mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan mempolitikkan isu mahkamah kerana proses perundangan masih berjalan dan setiap individu berhak mendapat keadilan mengikut prinsip undang-undang.

“Isu mahkamah tidak wajar dijadikan bahan untuk menabur fitnah dan mencipta persepsi. Semua tertuduh berhak untuk mempertahankan diri dan kita wajar menghormati proses undang-undang. GRS tidak pernah menghalang atau campur tangan dalam urusan kehakiman,” tegasnya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kerjasama GRS dan PH akan terus memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah dalam menghadapi PRN akan datang, sambil menegaskan bahawa GRS akan kekal memainkan peranan dominan dalam gabungan tersebut demi memperjuangkan agenda “Sabah First”.

“Kita yakin GRS akan terus menjadi teraju utama dalam kerajaan negeri. Kita bukan sekadar mahu menang, kita mahu memastikan perjuangan untuk memartabatkan hak Sabah dalam Persekutuan dapat diteruskan melalui platform yang lebih kukuh dan inklusif,” katanya.

Norazlinah turut membidas kenyataan Isnaraissah yang mendakwa kerajaan Persekutuan tidak mahu bekerjasama dengan Warisan kerana presidennya terlalu ‘lantang’ membela hak Sabah, dengan menyifatkan kenyataan itu sekadar retorik politik untuk meraih simpati rakyat.

“Kalau benar lantang itu satu-satunya kriteria untuk memajukan Sabah, mengapa kerajaan Warisan tumbang? Apa yang kita perlukan ialah pemimpin yang bukan hanya tahu bersuara, tetapi mampu membawa hasil, membina kerjasama strategik dan memastikan kestabilan. Itu yang telah dilakukan oleh Hajiji dan kepimpinan GRS,” katanya.

Norazlinah menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan retorik politik sempit yang hanya memburukkan pihak lawan, sebaliknya menilai prestasi sebenar dan keupayaan sesebuah kerajaan untuk terus membela kebajikan rakyat dan menjamin masa depan Sabah.

“Kerjasama GRS dan PH bukan untuk selamatkan mana-mana individu, tetapi untuk memastikan Sabah tidak kembali ke kancah ketidakstabilan. Inilah masa untuk kita terus bergerak ke hadapan dengan semangat kenegaraan, bukan kebencian,” tegas Norazlinah.

Dalam pada itu, Norazlinah turut membangkitkan hakikat bahawa Parti Warisan juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Justeru, tindakan Munirah mempertikaikan kerjasama GRS dengan PH menimbulkan persoalan besar tentang keikhlasan politik Warisan sendiri.

“Kalau benar Warisan jujur menolak kerjasama dengan PH, mengapa mereka masih berada dalam kerajaan yang sama di Putrajaya? Atau adakah sebenarnya mereka bimbang kerjasama strategik antara GRS dan PH di Sabah ini akan menjadi realiti politik yang menggugat kedudukan mereka menjelang PRN akan datang?” soal beliau.-pr/BNN