KENINGAU: Penduduk Kampung Tigot di Apin-Apin kini menikmati kemudahan awam baharu apabila sebuah pondok perhentian bas siap dibina sepenuhnya, hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.
Kemudahan yang dibina menerusi peruntukan khas ADUN itu memberi manfaat besar khususnya kepada pelajar sekolah yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari, sekali gus meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan mereka ketika menunggu bas.
Menurut Robert, pembinaan pondok bas berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen beliau untuk memperkasakan kemudahan asas luar bandar, sejajar dengan aspirasi “Bingkor Membangun Bersama Rakyat”.
“Projek ini merupakan salah satu pendekatan pembangunan yang inklusif dan berteraskan keperluan sebenar rakyat. Saya berharap penduduk dapat menjaga kemudahan ini dengan baik dan menggunakannya secara berhemah demi manfaat bersama,” katanya ketika ditemui.
Beliau menegaskan bahawa setiap kemudahan yang disediakan bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal semata-mata, tetapi juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkasa kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati kemudahan itu bukan sahaja memberi perlindungan daripada panas dan hujan, malah mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk pelajar dan penduduk kampung ketika menunggu kenderaan awam.-pr/BNN