KENINGAU: Penduduk Kampung Tagai, Apin-Apin kini menikmati sebuah lagi kemudahan infrastruktur apabila sebuah dewan terbuka baharu berjaya disiapkan hasil inisiatif dan peruntukan khas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.
Kemudahan tersebut dijangka menjadi pusat tumpuan pelbagai aktiviti komuniti seperti perhimpunan penduduk, program kemasyarakatan, majlis keagamaan serta aktiviti riadah dan sukan.
Ia bukan sahaja memberi nilai tambah kepada landskap pembangunan luar bandar, malah mengukuhkan jalinan perpaduan dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Pembinaan dewan terbuka itu turut mendapat sambutan positif daripada penduduk kampung yang sekian lama menantikan kemudahan sedemikian bagi memudahkan pelaksanaan pelbagai program bersifat inklusif dan menyeluruh.
Menurut wakil penduduk, kemudahan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempergiat aktiviti sosial dan pembangunan komuniti terutama melibatkan belia dan wanita.
Langkah ini turut mencerminkan iltizam berterusan Robert Tawik dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur asas luar bandar secara mampan, sejajar dengan visi beliau untuk merealisasikan slogan “Bingkor Membangun Bersama Rakyat.”
Projek ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh kemudahan asas luar bandar selaras dengan agenda pembangunan menyeluruh di kawasan pedalaman Sabah.-pr/BNN