KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai lambang kejayaan rakyat Sabah dalam membentuk kerajaan negeri yang berpaksikan kepada aspirasi tempatan, bebas daripada kawalan kuasa luar, kata aktivis masyarakat dan pemerhati politik, Aksyah Haji Nasrah.

Mengulas sesi temubual Podcast Skali Ketuk bersama Musli Oli yang menyentuh kedudukan politik Sabah dan GRS, beliau menegaskan penubuhan GRS adalah reaksi kepada sejarah silam dan keinginan rakyat untuk melihat kerajaan negeri dipimpin oleh parti yang benar-benar berakar di Sabah.

“GRS lahir selepas rakyat melalui episod pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Warisan. Ia muncul sebagai jawapan kepada cita-cita rakyat Sabah yang mahukan pemerintahan lebih berdaulat, tanpa perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak luar,” katanya.

Beliau menambah, keberadaan GRS sebagai parti tempatan yang memimpin kerajaan negeri membolehkan dasar-dasar penting dilaksanakan dengan lebih berkesan dan pantas, termasuk memperkukuh rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hubungan baik dengan Keraaan Persekutuan hasil kebijaksanaan GRS membolehkan 13 perkara dalam MA63 diluluskan. Ini bukan hasil retorik, tetapi pencapaian sebenar yang memberi manfaat langsung kepada Sabah,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya GRS hanya wujud hasil sokongan PH demi menyelamatkan kedudukan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Aksyah menyangkalnya sebagai naratif tidak berasas.

“Jika GRS bukan kerajaan, sudah pasti Hajiji bukan Ketua Menteri hari ini. PH-Plus hadir bukan atas dasar politik peribadi, tetapi sebagai penghargaan kepada kestabilan dan legitimasi yang dipertahankan,” jelasnya.

Menurut beliau, dakwaan bahawa Warisan lebih awal memperjuangkan MA63 juga kurang tepat kerana pemimpin GRS seperti Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey Kitingan sudah memperjuangkannya sejak sebelum era Warisan dan pernah ditahan di bawah ISA kerana isu tersebut.

“Ironinya, Presiden Warisan sendiri pernah menolak cadangan 20 peratus royalti minyak ketika berada dalam kerajaan dahulu. Di mana logiknya mereka kini mengaku sebagai pejuang hak Sabah?” soal beliau.

Dalam pada itu, Aksyah turut menegur tindakan sesetengah pemimpin pembangkang yang menjadikan Sarawak sebagai penanda aras untuk mengukur kejayaan GRS.

“Sarawak dan Sabah berbeza dari segi sejarah, struktur politik, dan sumber. Tidak wajar kita menyamakan keadaan. GRS harus diberi ruang membangun negeri mengikut acuan sendiri,” katanya.

Aksyah berkata, meskipun GRS baru berusia kurang lima tahun, namun pelbagai pencapaian telah diperoleh termasuk peningkatan hasil negeri dan pelaksanaan program rakyat secara tersusun di bawah Wawasan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pembangkang sering bertanya ke mana perginya berbilion ringgit yang diumumkan, tetapi realitinya, kita lihat banyak program kesejahteraan rakyat telah dijalankan. Ini bukan gula-gula PRN, tetapi komitmen untuk berkongsi hasil dengan rakyat,” ujarnya.

Aksyah juga mengimbas era pemerintahan terdahulu termasuk zaman penggiliran jawatan Ketua Menteri yang menurutnya memberi kesan negatif kepada pembangunan negeri.

“Dasar sentiasa berubah setiap dua tahun menyebabkan banyak perancangan gagal dilaksanakan. Hanya selepas sistem itu dimansuhkan semasa pentadbiran Tun Musa Aman, barulah pembangunan mula konsisten,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa GRS adalah berbeza daripada kerajaan-kerajaan terdahulu kerana ia dibentuk atas prinsip perpaduan rakyat Sabah dan bukan semata-mata agenda politik peribadi.

“Hajiji berjaya menyatukan pemimpin parti-parti tempatan di bawah satu payung – GRS. Ini adalah usaha menjadikan Sabah lebih bermartabat dengan visi jelas di bawah slogan Sabah Maju Jaya,” tegasnya.

Aksyah menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak harus terperangkap dengan persepsi negatif yang sering dimainkan oleh pembangkang, sebaliknya harus melihat pencapaian sebenar kerajaan hari ini.

“Dengan peningkatan hasil, dasar yang stabil dan program rakyat yang nyata, saya yakin GRS telah membuktikan keberkesanan pemerintahannya. Jelas sekali, GRS amat berbeza,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah untuk terus mempercayai kepimpinan tempatan dan menjadikan perpaduan sebagai asas utama untuk membina masa depan negeri yang lebih cemerlang.-pr/BNN