KENINGAU: Komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terhadap pembangunan komuniti terus terserlah apabila beliau menyalurkan sumbangan kepada PUSPANITA Daerah Keningau bagi menjayakan Pertandingan Bola Tampar Tertutup anjuran pertubuhan tersebut.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pembantu Operasi Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Mohamad Raihan Jinode, mewakili Annuar, dalam satu majlis ringkas di Pejabat UPPM Liawan. Ia diterima oleh wakil Pengerusi PUSPANITA Keningau, Boby Zulhalmi Semarjo.

Pertandingan yang bakal berlangsung pada 12 Julai ini di Gelanggang Bola Tampar Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Keningau, menghimpunkan penyertaan pelbagai agensi wanita serta komuniti setempat.

Menurut Mohamad Raihan, sumbangan itu merupakan manifestasi sokongan Annuar terhadap inisiatif memperkasakan wanita melalui aktiviti kesukanan dan memperkukuh hubungan sosial antara penjawat awam dan masyarakat.

“Annuar sentiasa menyokong penganjuran program berimpak tinggi seperti ini yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi turut memupuk semangat berpasukan, disiplin dan keterlibatan aktif dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, usaha ini juga seiring dengan visi pembangunan “Liawan Terurus, Liawan Maju” yang menekankan kemajuan menyeluruh bukan sahaja dari segi infrastruktur, malah turut merangkumi aspek sosial dan kesejahteraan komuniti.

Program seperti ini dilihat sebagai pemangkin kepada pengukuhan perpaduan, selain membuka ruang kepada wanita untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti riadah dan komuniti di peringkat daerah.-pr/BNN