KENINGAU – Sempena ketibaan Tahun Baharu Islam 1447 Hijrah, Masjid Nur Hidayah, Pekan Bingkor, telah menganjurkan satu ceramah khas keagamaan yang disampaikan oleh Penyelaras Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Keningau, Tuan Mohd Nizam Yahya, baru-baru ini.
Ceramah bertemakan “Kepentingan Bulan Muharam dan Konsep Maal Ziarah” itu berjaya menyuntik semangat keinsafan dan memperkukuh nilai ukhuwah dalam kalangan jemaah, di samping mengetengahkan kepentingan memulakan lembaran baharu Hijrah dengan muhasabah dan pembinaan sahsiah diri yang lebih kukuh.
Disampaikan dalam suasana yang penuh penghayatan, Tuan Mohd Nizam turut menyeru umat Islam agar menjadikan Maal Hijrah sebagai titik tolak kepada perubahan positif dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat, selaras dengan tuntutan syariat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah, Tuan Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles, menyifatkan program ini sebagai medan penyatuan umat dan berterima kasih atas komitmen JHEAINS menyantuni komuniti setempat, khususnya dalam menyemarakkan semangat Maal Hijrah di peringkat akar umbi.
Majlis tersebut turut dihadiri lebih 30 jemaah, termasuk Imam Masjid Nur Hidayah, Imam Juslin Ibrahim, serta barisan Ahli Jawatankuasa Masjid. Penganjuran ini bukan sahaja memperkukuh pengisian rohani tetapi turut menjadi platform mempererat perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam di Pekan Bingkor.-pr/BNN