KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin menyalurkan sumbangan kepada Dewan Perniagaan Tionghua Keningau bagi menyokong Upacara Peringatan 80 Tahun Tugu Konsul Cho Huan Lai dan empat mangsa Perang Dunia Kedua yang dijadual berlangsung pada 26 Julai 2025.

Sumbangan disampaikan oleh Hj Zaki Hj Zakaria, mewakili Robert, kepada Angela Lee dalam satu majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor.

Program bertempat di Tugu Peringatan Cho Huan Lai itu bertujuan mengenang jasa tokoh sejarah dan mangsa perang yang terkorban demi keamanan negara.

Menurut Robert, upacara sebegini bukan sahaja memperingati sejarah, tetapi turut menyemai semangat patriotik, perpaduan dan kesedaran antara generasi.

“Pengorbanan masa lalu adalah asas keharmonian hari ini. Generasi muda perlu faham sejarah agar lebih menghargai keamanan,” katanya menerusi kenyataan yang disampaikan oleh wakil beliau.

Angela turut merakamkan penghargaan kepada Robert atas sokongan berterusan terhadap usaha komuniti Cina Keningau dalam memelihara warisan sejarah dan semangat nasionalisme.

Upacara itu dijangka menghimpunkan pemimpin masyarakat, pelajar serta waris mangsa perang, sekali gus mencerminkan perpaduan pelbagai kaum di daerah ini.-pr/BNN