KENINGAU: Mangsa kebakaran rumah di Kampung Ritting, Apin-Apin menerima bantuan segera daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Sumbangan berupa bantuan kewangan dan bakul makanan itu disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred Vincent Marukau, yang mewakili Robert dalam lawatan khas ke tapak kejadian.

“Robert amat bersimpati dan berharap keluarga mangsa diberi ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya sambil memaklumkan bahawa bantuan susulan akan dipertimbangkan.

Turut hadir, Pemaju Mukim Apin-Apin, Dennis Juakim dan kakitangan Pejabat ADUN Bingkor.

Kebakaran yang berlaku baru-baru ini memusnahkan kediaman Harry Johny sekeluarga, menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal.

Kehadiran wakil Robert serta pemimpin setempat mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.-pr/BNN