KENINGAU: Usaha memperkukuh suasana pembelajaran yang selesa dan kondusif di sekolah luar bandar terus menjadi keutamaan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan apabila menyumbang empat unit penghawa dingin kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Merampong di sini.
Sumbangan itu diserahkan oleh Ketua Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Keningau (PKRP), Lectus Fung kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Merampong, Harina Gapil dalam satu kunjungan ringkas di pejabat PKRP baru-baru ini.
Harina mewakili pihak sekolah hadir menerima sumbangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu bentuk keprihatinan yang amat bermakna, khususnya kepada guru-guru dan murid yang saban hari berdepan cabaran mengajar dan belajar dalam keadaan cuaca panas.
“Empat unit penghawa dingin ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan warga sekolah, malah menjadi suntikan semangat baharu untuk kami terus berkhidmat dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Tadbir PKRP, Betty Abbie yang banyak membantu memudahkan urusan permohonan sumbangan menerusi kerjasama erat antara pihak sekolah dan PKRP.
Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Dr Jeffrey dalam menyokong pembangunan pendidikan di peringkat akar umbi, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkasa prasarana dan kebajikan guru serta pelajar di kawasan pedalaman.-pr/BNN