KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin menyatakan komitmennya terhadap kesejahteraan rakyat apabila menyokong penuh Program Derma Darah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apin-Apin bersama Hospital Keningau dan Jabatan Perubatan Transfusi, baru-baru ini.
Program bertemakan “Derma Darah, Semai Harapan, Bersama Selamatkan Nyawa” itu berlangsung di Dewan Datuk Angian Andulag, dan dirasmikan oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat UPPM Bingkor, Haji Zaki Haji Zakaria yang mewakili Robert.
Selain aktiviti derma darah, program turut dimeriahkan dengan jualan Rahmah, kaunter pendaftaran e-Kasih, pameran produk kraftangan tempatan serta sarapan pagi percuma kepada pengunjung.
Sebagai galakan, Robert turut menyumbang 20 bakul makanan kepada penderma darah terawal sebagai penghargaan terhadap semangat kesukarelawanan.
“Program seperti ini bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi menyuburkan nilai kemanusiaan dalam masyarakat luar bandar,” katanya menerusi wakil beliau.
Robert turut menyeru agar lebih banyak program kemasyarakatan dan kesihatan diadakan secara berkala, sejajar dengan misinya membangunkan Bingkor bersama rakyat.
“Setitik darah, sejuta harapan. Derma darah memberi peluang kedua kepada yang memerlukan,” ujarnya.-pr/BNN