KENINGAU: Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terhadap pembangunan sahsiah dan sukan dalam kalangan murid sekolah terus dizahirkan apabila beliau menyumbang kepada Kontinjen Ragbi Lelaki Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Keningau.

Sumbangan itu disampaikan oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat (PKM), Heldahwati Juhasin yang mewakili Annuar, dan diterima oleh Pengurus Pasukan, Rozy Yanti C. Madis di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan.

Kontinjen berkenaan akan mewakili Keningau dalam Kejohanan Ragbi Lelaki Bawah 12 Tahun Peringkat Negeri anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah (MSSS), yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 Julai ini di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Biah, Keningau.

Annuar yang sinonim dengan pendekatan kepimpinan berasaskan tindakan dan bukan sekadar janji, menegaskan bahawa penglibatan murid dalam aktiviti sukan mampu memupuk disiplin, semangat berpasukan dan nilai kepimpinan sejak usia muda.

“Sumbangan ini bukan sahaja untuk menampung keperluan kontinjen, tetapi juga sebagai suntikan semangat buat adik-adik yang membawa nama Keningau ke peringkat negeri. Saya yakin mereka mampu menunjukkan prestasi terbaik,” katanya.

Beliau juga aktif menyokong pelbagai program akar umbi membabitkan aspek pendidikan, kebajikan dan pembangunan belia, menjadikan DUN Liawan sebagai antara kawasan yang rancak dengan inisiatif pembangunan modal insan.-pr/BNN