KENINGAU: Prihatin dengan keperluan golongan kurang bernasib baik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, terus menzahirkan komitmennya membela rakyat apabila menyumbangkan sebuah katil hospital jenis Hi-Lo kepada seorang pesakit terlantar di Kampung Tudan Baru, di sini.

Sumbangan khas itu disampaikan mewakili beliau oleh wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat ADUN N.40 Bingkor, diketuai Pemaju Mukim Bingkor, George Dairie, bersama Pemaju Mukim Tuntumolod, Ted Herman Jack NC Abin, yang menyerahkan bantuan secara terus di kediaman pesakit, Dius Juni.

Menurut George, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan berterusan Robert dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan, terutamanya golongan yang memerlukan kemudahan rawatan khas di rumah.

“Ini mencerminkan nilai kepimpinan Robert yang sentiasa mengutamakan sentuhan insaniah dan prihatin terhadap keperluan rakyat, tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Anak kepada Dius yang menerima sumbangan bagi pihak keluarga, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan wakil rakyat mereka.

“Sumbangan ini amat besar maknanya buat ayah kami dan seluruh keluarga. Ia bukan sahaja meringankan penjagaan harian, malah memberi semangat baharu dalam menempuh cabaran kesihatan ini,” katanya sebak.

Robert sebelum ini sering tampil membantu rakyat yang berdepan kesukaran, selaras dengan visinya “Bingkor Membangun Bersama Rakyat”, yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan sosial. – pr/BNN