PENAMPANG: Seruan “Sabah untuk Rakyat Sabah – Rumah Kita, Kita Jaga” bukan sekadar slogan politik, tetapi cerminan suara rakyat yang menginginkan perubahan tulen dan menyeluruh.

Itu penegasan lantang disuarakan Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Annuar Ayub Aman, dalam ucapan bersejarahnya sempena Konvensyen Perpaduan PBS–STAR 2025 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Sabtu lalu.

Ucapan penuh semangat beliau yang menyentuh isu reformasi akar umbi dan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia mendapat tepukan gemuruh lebih 7,000 hadirin, menjadikannya antara detik paling mencuri tumpuan sepanjang konvensyen.

“Sabah bukan anak tiri, Sabah adalah pengasas Malaysia,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan itu, sambil mengkritik ketidakseimbangan pembangunan serta kelewatan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah negeri kaya, tetapi masih ada kampung tanpa jalan tar, sekolah berdinding papan dan beratap bocor. Kita tidak minta lebih – kita hanya tuntut hak yang dijanjikan.” tegasnya.

Annuar menekankan bahawa kerjasama antara PBS dan STAR bukan lagi sekadar pakatan politik, tetapi lambang penyatuan anak negeri yang muak dengan perpecahan politik selama ini.

“Cukup. Tamat sudah era perpecahan. Kerjasama PBS–STAR adalah penyatuan hati demi masa depan Sabah yang bermaruah,” katanya, sambil memuji kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua parti dalam merintis sinergi politik baharu.

Mengangkat peranan belia sebagai teras perubahan, Annuar menggesa generasi muda Sabah untuk tidak menjadi penonton, sebaliknya pemacu reformasi politik dan sosial di negeri ini.

“Jangan gadaikan undi hanya kerana RM50. Setiap undi yang dijual adalah masa depan anak cucu yang tergadai,” katanya penuh emosi.

Beliau turut memetik pandangan ahli akademik terkemuka dunia, Francis Fukuyama, dalam mengukuhkan hujah bahawa negara yang kukuh hanya terbina apabila institusi tempatan diperkasa.

“Sabah adalah medan ujian sebenar pembinaan negara. Malaysia tidak boleh dibina dari pusat secara paksaan – ia mesti diasaskan pada kepercayaan dan pemberdayaan rakyat di bawah,” ujarnya.

Beliau juga menyeru rakyat Sabah membuat pilihan tepat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 dengan memilih pemimpin tempatan yang benar-benar memahami denyut nadi negeri ini.

“Kita ada dua pilihan – kembali kepada mereka yang hanya muncul ketika pilihan raya, atau bangkit bersama parti yang lahir dan berjuang dari bumi Sabah sendiri.”

Laungan “Hidup Sabah! Hidup STAR! Hidup Malaysia yang reformis!” bergema di seluruh dewan, mencerminkan gelombang sokongan terhadap kebangkitan politik tempatan yang kian mendapat tempat dalam hati rakyat.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam ucapan penutupannya, menyifatkan konvensyen itu sebagai lambang kesepaduan antara dua tonggak penting Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“GRS adalah rumah kita – tempat kita berteduh dan merancang masa depan. Kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi?” katanya.

Beliau turut menegaskan pencapaian GRS sepanjang lima tahun pentadbiran termasuk hasil negeri meningkat kepada hampir RM7 bilion, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah mencecah RM84.3 bilion, rizab negeri RM8.6 bilion dan pelaburan berjumlah RM35.38 bilion.

“Jika mandat diteruskan, kita akan pastikan segala perancangan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya dilaksana sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai menegaskan slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” tidak membawa maksud permusuhan dengan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya menyerlahkan semangat patriotik dan tanggungjawab bersama.

“Slogan ini bukan anti-persekutuan. Sabah kekal dalam Malaysia, tapi kita mahu dihormati sebagai rakan setara. Suara kita mesti diambil kira dalam dasar nasional,” katanya. – pr/BNN