KENINGAU: Pasukan permotoran tempatan, Team Hikari Ride dari Liawan menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman sebagai persiapan menyertai Festival Permotoran Kota Belud 2025.

Sumbangan disampaikan menerusi Pemaju Mukim Lingkudau, Noritah Melvina Dungkian dalam satu majlis ringkas di Pejabat UPPM Liawan dan diterima oleh Pengurus Pasukan, Mohd Irfin Ikhwan Ridhwan.

Festival yang berlangsung pada 30 Julai hingga 3 Ogos itu menghimpunkan pasukan dari seluruh Sabah dan menjadi pentas anak muda luar bandar menonjolkan kreativiti serta kepakaran dalam bidang automotif.

“Ini bukan sekadar bantuan, tetapi tanda pengiktirafan terhadap minat kami. Terima kasih Datuk Annuar atas sokongan ini,” kata Irfin.

Annuar dalam kenyataan melalui wakilnya menegaskan komitmen untuk terus menyokong belia dalam pelbagai bidang, selari dengan agenda “Liawan Terurus, Liawan Maju”.-pr/BNN