KENINGAU: Laluan utama di Jalan Bunga Raya, Bingkor bakal lebih selamat dan selesa apabila pembinaan jambatan baharu sedang giat dilaksanakan bagi menggantikan struktur lintasan aras rendah (LLC) sedia ada yang sering mengundang risiko, terutama ketika musim hujan.
Projek itu hasil usaha berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, dalam menjamin kemudahan infrastruktur lebih mampan kepada penduduk luar bandar.
“Sebelum ini, kami bimbang setiap kali hujan. Laluan ini penting kerana di sinilah kami hantar anak ke sekolah, bawa hasil tani ke pekan,” kata seorang penduduk yang ditemui di lokasi pembinaan.
Jambatan tersebut dijangka memberi manfaat kepada ratusan pengguna termasuk pelajar, guru dan petani dari kampung sekitar yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada LLC yang sering ditenggelami air.
Robert sebelum ini menegaskan, setiap pembangunan luar bandar membawa makna besar buat rakyat dan bukan sekadar projek fizikal semata-mata.
“Inilah yang kita perjuangkan melalui gagasan ‘Bingkor Membangun Bersama Rakyat’ – supaya tiada komuniti desa ketinggalan dalam arus pembangunan negeri,” katanya.-pr/BNN