KENINGAU: Komitmen berterusan terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi program ziarah pedalaman anjuran Wiranita STAR Liawan bersama YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, isteri kepada ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.

Program yang berlangsung baru-baru ini menyantuni penduduk di empat kampung pedalaman — Blok 3 Tayar Kampung Banjar, Kampung Masjid, Kampung Lingkudau dan Kampung Pampang — menerusi penyampaian sumbangan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan.

Menurut jurucakap Wiranita STAR, lawatan tersebut bukan sekadar penyerahan bantuan, tetapi lambang keprihatinan dan usaha memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat.

“Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian. Sumbangan ini diharap dapat memberi sedikit kelegaan dan kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan kepimpinan Datuk Annuar melalui pendekatan mesra rakyat di peringkat akar umbi, selaras dengan misi “Liawan Terurus, Liawan Maju”.-pr/BNN