KENINGAU: Penduduk Kampung Menggitom Baru kini menikmati kemudahan baharu apabila pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Menggitom siap sepenuhnya, hasil usaha gigih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Dewan terbuka itu dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 400 penduduk setempat dan bakal menjadi pusat pelaksanaan pelbagai aktiviti masyarakat, termasuk majlis rasmi, program keagamaan, kebudayaan serta perhimpunan komuniti yang mampu memperkukuh perpaduan.
Tinjauan ke tapak dewan tersebut diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.40 Bingkor, Junior Fred Vincent Marukau bersama kakitangan Pejabat ADUN Bingkor bagi menilai mutu pembinaan dan tahap kesediaan kemudahan yang disediakan.
“Dewan ini bukan sekadar bangunan, tetapi simbol keprihatinan dan kasih sayang seorang pemimpin terhadap rakyat. Ia menjadi tempat berhimpun, bermesyuarat dan memupuk jati diri masyarakat,” kata Junior Fred ketika ditemui semasa lawatan tersebut.
Pembinaan dewan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan infrastruktur luar bandar yang diterajui oleh Datuk Robert selaku Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah. Ia mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam memastikan kemudahan asas di kawasan pedalaman terus dipertingkatkan demi keselesaan rakyat.
Selain itu, pelaksanaan projek-projek seumpama ini membuktikan tekad Robert dalam merealisasikan pembangunan yang lebih menyeluruh dan inklusif di kawasan Bingkor, sejajar matlamat kerajaan negeri memperkasakan luar bandar.-pr/BNN