KENINGAU: Prihatin terhadap nasib golongan memerlukan, Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, turun padang menyantuni masyarakat menerusi program kemasyarakatan anjuran Wiranita STAR Liawan, baru-baru ini.

Program itu menyaksikan penyampaian sumbangan kepada penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Masjid, Kampung Meninipir Lama dan Kampung Bulu Silou, sebagai tanda solidariti serta keprihatinan terhadap tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan seharian penduduk luar bandar.

Sumbangan disampaikan dalam suasana mesra dan penuh kasih sayang oleh barisan Wiranita Liawan yang diketuai wanita-wanita prihatin, dengan kehadiran Tengku Adlina sebagai simbol sokongan moral dan empati seorang isteri wakil rakyat terhadap masyarakat akar umbi.

“Saya hanya ingin menjadi sebahagian daripada usaha meringankan beban mereka yang sedang melalui kesukaran. Walaupun kecil, semoga sumbangan ini membawa makna besar buat penerima,” katanya ringkas namun penuh makna.

Turut hadir dalam program itu ialah jentera wanita STARSABAH serta pemimpin masyarakat tempatan yang menyambut baik inisiatif berterusan pihak ADUN Liawan, bukan sahaja dalam menyalurkan bantuan material tetapi juga menyemai nilai kasih sayang serta keakraban dalam kalangan rakyat.

Program itu turut menggambarkan pendekatan politik Datuk Annuar yang menekankan nilai kemanusiaan dan kebajikan sebagai tunjang pentadbirannya – satu model kepimpinan yang bukan sahaja melihat dan mendengar, malah sentiasa bertindak bersama rakyat.

Sejak diberi mandat sebagai wakil rakyat, Annuar dan keluarganya aktif mendekati semua lapisan masyarakat melalui pelbagai inisiatif sosial merangkumi bidang kebajikan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan keusahawanan.

“Dalam setiap langkah kecil yang diambil ini, terselit harapan besar buat masa depan Liawan. Kawasan ini bukan sekadar sempadan pilihan raya, ia adalah rumah kita bersama,” kata salah seorang pemimpin Wiranita ketika ditemui.-pr/BNN