KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd. Nazri Abdullah merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh atas pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Mohd. Nazri menyifatkan pelantikan itu sebagai tepat dan wajar berdasarkan pengalaman luas serta integriti yang dimiliki oleh Wan Ahmad Farid sepanjang perkhidmatan beliau dalam bidang kehakiman dan perundangan.
“ Wan Ahmad Farid adalah sahabat rapat saya sejak lebih 20 tahun lalu. Kami pernah bekerjasama dan saya mengenalinya sebagai seorang yang berintegriti, berprinsip serta amat komited dalam tugas.
“Kali terakhir kami bertemu ialah kira-kira satu tahun lalu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, dan beliau tetap seperti dahulu — bersederhana dan sangat merendah diri,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Negeri Sabah hari ini.
Mohd Nazri berkata, pelantikan sahabat lamanya itu merupakan kebanggaan buat rakyat Malaysia, khususnya anak watan Terengganu yang kini menggalas amanah besar dalam sistem keadilan Negara.
Wan Ahmad Farid, 62, yang berasal dari Kuala Terengganu, diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang baharu menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah bersara wajib.
Pelantikan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan rundingan bersama Majlis Raja-Raja, seperti yang diumumkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam.
Majlis angkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan akan berlangsung pada 28 Julai ini di Istana Negara.
Pelantikan tersebut dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.-pr/BNN