KENINGAU: Jalan kampung bukan sekadar laluan harian, sebaliknya menjadi nadi utama kehidupan penduduk luar bandar.

Di Kampung Bariawa Ulu, denyut nadi itu kembali bernafas apabila penduduk berganding bahu menurap semula jalan rosak secara gotong-royong dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.

Meskipun tanpa jentera berat atau kontraktor, usaha membaiki jalan utama kampung itu tetap berjalan lancar hasil semangat sukarela penduduk yang menggunakan bancuhan konkrit sedia campur (ready mix concrete) disumbangkan oleh wakil rakyat mereka.

“Ini bukan sekadar kerja menampal jalan. Ini kerja menampal semangat. Rakyat beri tenaga, kami sumbang keperluan – itulah makna sebenar kerjasama akar umbi,” kata Annuar ketika dihubungi.

Program yang bermula seawal pagi itu menyaksikan penglibatan aktif pelbagai lapisan masyarakat termasuk ketua kampung, belia dan penduduk setempat yang bersama-sama menyumbang tenaga demi memperbaiki kemudahan asas yang penting untuk keselamatan dan keselesaan mereka.

Ketua Kampung Bariawa Ulu berkata, inisiatif itu bukan sahaja mempercepatkan kerja pembaikan, malah menghidupkan kembali semangat kejiranan dan rasa tanggungjawab kolektif dalam menjaga kemudahan awam.

“Sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban, tetapi menghidupkan semula nilai hidup berjiran yang semakin pudar. Penduduk lebih menghargai hasil usaha sendiri apabila mereka turut sama menyumbang tenaga,” katanya.

Program itu juga mencerminkan keakraban hubungan antara pemimpin dan rakyat, selari dengan gagasan “Liawan Terurus, Liawan Maju” yang menjadi tunjang perjuangan Annuar Ayub di kawasan Dewan Undangan Negeri itu.

Usaha memperkasakan kemudahan kampung seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa menerusi pendekatan kerjasama bersepadu antara komuniti dan pejabat ADUN Liawan, termasuk dalam aspek pendidikan, infrastruktur dan pembangunan sosial.-pr/BNN