KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee, mencadangkan agar Jabatan Air Negeri Sabah dibubarkan dan digantikan sepenuhnya dengan sebuah badan berkanun baharu yang dikendalikan secara profesional.

Beliau berkata, langkah radikal itu wajar dilaksanakan susulan kegagalan berterusan jabatan berkenaan dalam menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini, meskipun Sabah memiliki sumber air yang melimpah ruah serta peruntukan besar yang telah dibelanjakan sejak beberapa dekad lalu.

“Sumber air Sabah banyak – dari sungai, hujan, malah laut. Kita juga ada Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 yang memberi kuasa luas kepada Jabatan Air. Namun isu bekalan air masih gagal ditangani dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yong turut mengimbas kembali sesi pra-persidangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah pada April 2023 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, apabila beliau secara terbuka melahirkan kekecewaan terhadap kegagalan menangani krisis air, termasuk di Putatan dan Kota Kinabalu.

Katanya, ketika itu beliau telah memberi pandangan agar Menteri Kerja Raya yang baharu tidak bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Air dalam mencari penyelesaian, kerana jabatan itu sendiri adalah punca masalah utama.

“Saya telah menjalankan kajian terperinci mengenai prestasi dan kelemahan Jabatan Air. Sungguh tidak masuk akal apabila menteri terpaksa mengarahkan Jabatan Air menyiasat masalah kekurangan air, sedangkan loji baharu di Kasigui sudah siap. Jabatan melaporkan masalah pada sistem pengedaran – isu yang sudah lama diketahui,” tegasnya.

Menurut Yong, Jabatan Air bukanlah entiti baharu dan sewajarnya sudah mempunyai sistem pemantauan dan penyelenggaraan berkesan, memandangkan Enakmen Bekalan Air telah digubal lebih 20 tahun lalu.

Beliau berpandangan, satu langkah perundangan menerusi pindaan Enakmen Bekalan Air 2003 perlu dilakukan untuk membubarkan jabatan sedia ada, dan menubuhkan badan berkanun baharu yang lebih profesional, telus dan berorientasikan penyelesaian.

“Kita memiliki ramai jurutera serta pentadbir air yang cekap dan berintegriti di Sabah. Mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik jika diberi platform yang bebas daripada kerenah birokrasi,” katanya lagi.

Yong menegaskan bahawa sudah tiba masa Kerajaan Negeri membuat keputusan tegas demi masa depan rakyat Sabah.

“Air ialah keperluan asas. Rakyat berhak mendapat bekalan yang bersih, mencukupi dan berterusan. Kini, keputusan terletak di tangan kerajaan,” katanya. – pr/BNN