KENINGAU: Jalan konkrit yang kini terbentang di Kampung Bandukan Baru, Bingkor menjadi simbol nyata perjuangan dan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat pedalaman.

Projek jalan konkrit itu, yang siap sepenuhnya baru-baru ini, memberi manfaat besar kepada penduduk dari segi keselamatan serta kelancaran pergerakan harian, khususnya pada musim hujan.

Ia dilaksanakan hasil inisiatif Pembantu Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik dengan sokongan Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh prasarana asas luar bandar.

“Setiap projek bukan sekadar janji, tetapi amanah yang harus ditunaikan. Ini bukti kita dengar rintihan rakyat dan bertindak,” katanya.

Selain memudahkan pergerakan, jalan konkrit ini turut membuka ruang kepada perkembangan sosioekonomi kampung, termasuk peluang pendidikan dan kegiatan ekonomi yang lebih lancar.

Penduduk kini dapat menikmati kemudahan yang setara dengan kawasan lain, sekali gus membantu merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar secara lebih inklusif.

Jalan di Kampung Bandukan Baru menjadi satu lagi bukti bahawa suara rakyat pedalaman tetap diberi perhatian, dan perjuangan untuk kesejahteraan mereka akan diteruskan – selangkah demi selangkah.-pr/BNN