KENINGAU: Kejohanan Bola Tampar Tertutup anjuran PUSPANITA Daerah Keningau melabuhkan tirainya dalam suasana penuh semangat kesukanan, sekali gus mengeratkan silaturahim dan semangat berpasukan dalam kalangan penjawat awam wanita.

Majlis penutupan disempurnakan Penolong Pegawai Daerah Keningau, Christine Tiffany Charles Lohindu di Dewan Kelab Belia dan Sukan, menzahirkan sokongan berterusan terhadap gaya hidup sihat dan aktif di kalangan anggota perkhidmatan awam.

Pengerusi PUSPANITA Keningau, Maria Abi, dalam pesanan khasnya merakamkan penghargaan kepada semua pasukan dan petugas pelaksana atas kejayaan penganjuran meskipun tidak dapat hadir sesi petang.

“Saya bangga dengan semangat anda semua. Tahniah dan syabas atas komitmen menjayakan kejohanan ini,” katanya.

Program ini turut menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam kalangan wanita serta memperkukuh kerjasama antara jabatan kerajaan.

Seorang peserta menyifatkan kejohanan seperti ini wajar diteruskan kerana mampu menyemarakkan budaya kerja lebih sihat, ceria dan dinamik.

PUSPANITA Keningau turut merakamkan terima kasih kepada semua peserta, penyokong dan petugas teknikal yang menjayakan kejohanan ini.-pr/BNN