KOTA KINABALU: Kegiatan Pengabdian kepada Masyarakat (PkM) anjuran Fakulti Ekonomi dan Bisnes (FEB), Universiti Pancasila berjaya dilaksanakan di Community Learning Centre (CLC) Cerdas, Kota Kinabalu hari ini dengan semangat kolaboratif yang tinggi dan komitmen terhadap pemberdayaan komuniti warga negara Indonesia (WNI) di Sabah.
Program University Social Responsibility antarabangsa ini mengetengahkan dua topik utama iaitu “Kecerdasan Finansial: Kunci Menuju Kebebasan Finansial” dan “
Pekerja Migran Indonesia (PMI) Hebat: Meningkatkan Kapasiti dan Kompetensi Diri di Era Digital”, yang disampaikan oleh barisan akademik FEB Universiti Pancasila sendiri.
Turut hadir, Konsul Pelaksana Fungsi Konsuler merangkap Ketua Chancellory Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Irhamna Fithriya yang menyatakan penghargaan terhadap usaha institusi pengajian tinggi Indonesia dalam memperkasakan diaspora mereka di luar negara.
Naib Canselor Universiti Kolej Yayasan Sabah, Datuk Dr Rafiq Idris pula menekankan kepentingan pendidikan rentas negara sebagai pemangkin transformasi sosial dan peningkatan taraf hidup komuniti.
Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi adalah suatu yang ditekankan dalam semangat komuniti ASEAN.
Dalam konteks literasi kewangan seperti yang ditekankan, UCSF terbuka kepada bentuk kerjasama yang boleh membantu meningkatkan literasi kewangan masyarakat.
Program itu turut mendapat dukungan komuniti apabila disertai pemimpin pelbagai kumpulan masyarakat seperti Pengerusi Kelompok Keluarga Katolik Indonesia Kota Kinabalu, Yohanis Solo dan Ketua Komuniti Toraja Sabah, Santi Dewi.
Delegasi FEB Universiti Pancasila diketuai oleh Dekan, Dr Harnovinsah, bersama Dr Erwin Permana (Timbalan Dekan II), Gunawan Baharuddin, Ph.D. (Pengarah Kerjasama dan Perhubungan Institusi), serta Rafrini Amyulianthy, Ph.D. (Ketua Program S1 Perakaunan).
Sesi ceramah dan diskusi menekankan pentingnya pemikiran kewangan yang sihat, pengurusan aliran tunai, pembinaan aset serta penggunaan teknologi digital untuk memperkukuh ekonomi keluarga.
Selain ilmu bermanfaat, peserta turut menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas dan bantuan pengangkutan sebagai tanda keprihatinan penganjur terhadap kebajikan komuniti WNI di Sabah daripada Universitas Pancasila.
Program ini mencerminkan iltizam Universitas Pancasila dalam mendukung pembangunan kapasiti ekonomi dan sosial rakyat Indonesia di perantauan melalui pendekatan pendidikan yang praktikal, inklusif dan mampan. – pr/BNN