KENINGAU: Sokongan akar umbi terhadap kepimpinan Datuk Robert Tawik @ Nordin terus kukuh apabila semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam DUN Bingkor sepakat menamakan beliau sebagai calon tunggal Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang.
Ketetapan itu sekali lagi ditegaskan dalam Mesyuarat PDM Liau Bingkor yang berlangsung kelmarin, diketuai Harry Gitik selaku Ketua PDM, dihadiri ahli-ahli STARSABAH dan jentera parti peringkat akar umbi.
“Tiada calon lain selain Robert. Beliau bukan sahaja membawa pembangunan nyata, tetapi juga simbol kestabilan dan penyatuan rakyat di Bingkor. Slogan ‘Bingkor Membangun Bersama Rakyat’ bukan sekadar retorik – ia sudah menjadi kenyataan yang perlu diteruskan,” katanya.
Robert, yang kini menyandang kerusi ADUN N.40 Bingkor dan memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, dilihat berjaya membawa pelbagai pembaharuan – termasuk penambahbaikan infrastruktur asas, jalan kampung, kemudahan awam serta kebajikan rakyat luar bandar.
Menurut Harry, rakyat Bingkor masih memerlukan kepimpinan beliau kerana pendekatan turun padang dan penyelesaian segera kepada isu-isu tempatan menjadi ciri utama gaya kepimpinan Robert yang dihargai oleh penduduk.
Bagaimanapun, mesyuarat itu turut menyentuh cubaan halus pihak tertentu – dipercayai bernaung di bawah pengaruh seorang tokoh politik lama – untuk mengetengahkan calon alternatif menjelang PRN.
“Kami tidak mahu keharmonian yang dibina sekian lama diganggu oleh agenda peribadi. Ini bukan masanya untuk bereksperimen dengan calon baharu. Kami berdiri teguh di belakang Robert,” tegas Harry dengan nada serius.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan kekuatan jentera dan menimbulkan perpecahan dalam keluarga besar STARSABAH dan GRS di peringkat akar umbi.
Dalam nada tegas namun penuh harapan, ahli-ahli PDM Liau turut menyeru Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, agar tidak tunduk kepada tekanan atau usaha luar yang boleh menjejaskan kestabilan politik di DUN Bingkor.
“Kami telah bersedia untuk turun ke gelanggang PRN bersama Robert. Rakyat masih mahukan beliau. Kami mohon pucuk pimpinan parti mendengar suara akar umbi,” ujar Harry.
Pendirian tegas yang dizahirkan oleh PDM Liau ini sekali gus mengukuhkan lagi keputusan sebulat suara semua 13 PDM di DUN Bingkor, yang lebih awal menyuarakan sokongan padu terhadap Robert sebagai calon GRS.
Ia turut mencerminkan gelombang keyakinan rakyat luar bandar terhadap kepimpinan yang terbukti berkesan, berpaksikan tindakan nyata dan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat – nilai yang semakin dihargai dalam landskap politik semasa.-pr/BNN