KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai menipu seorang lelaki hingga mendorong mangsa membayar rasuah berjumlah kira-kira RM6,000 kononnya bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek, sekitar tahun 2023, dipercayai telah menawarkan bantuan kepada pengadu untuk memperoleh darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk’ dari negeri Pahang, walaupun beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa atau pengaruh untuk berbuat demikian.
“Suspek kemudiannya didakwa telah mendorong pengadu secara tidak jujur untuk memindahkan wang berjumlah kira-kira RM6,000 bagi tujuan kononnya membeli aksesori pakaian istiadat sebagai sebahagian daripada proses penganugerahan darjah kebesaran tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan suspek telah dibebaskan dengan jaminan selepas membayar wang deposit tunai sebanyak RM5,000 daripada jumlah keseluruhan jaminan RM10,000 yang ditetapkan.
“Suspek dijangka akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.-pr/BNN