KENINGAU: Politik bukan sekadar medan meraih kuasa, tetapi ruang untuk menyemai bakti dan mendekati rakyat. Prinsip inilah yang terus dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang gigih melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan penuh rasa prihatin dan rendah hati.
Turut mendampingi beliau dalam setiap misi kemanusiaan ialah isteri tercinta, Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, bersama jentera Wiranita Liawan yang komited menyantuni masyarakat, khususnya golongan memerlukan.
Baru-baru ini, pasangan itu turun padang ke Kampung Toboh Baru dan Kampung Tudan Baru, menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada beberapa keluarga kurang berkemampuan dalam satu program kebajikan anjuran Wiranita Liawan.
Program itu bukan sekadar pengagihan barangan, tetapi menyuntik harapan serta meniup semangat baharu dalam kalangan penerima yang rata-ratanya berdepan cabaran hidup harian.
“Kami tidak mahu rakyat rasa terpinggir. Sumbangan ini bukan hanya untuk meringankan beban, tetapi juga sebagai tanda bahawa mereka sentiasa dekat di hati kami,” kata Datin Tengku Adlina, penuh tulus ketika menyantuni penerima dari rumah ke rumah.
Kesungguhan Tengku Adlina menyampaikan bantuan secara peribadi, tanpa protokol mahupun jurang sosial, nyata menyentuh hati ramai penduduk. Sikap mesra dan rendah diri beliau mencerminkan nilai kemanusiaan yang menjadi asas dalam kepimpinan suaminya di Liawan.
Sementara itu, Wiranita Liawan berperanan sebagai penghubung antara rakyat dan pemimpin – memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada perhatian, khususnya dalam kalangan ibu tunggal, warga emas dan mereka yang terjejas akibat kekangan ekonomi.
Program kebajikan itu merupakan kesinambungan kepada iltizam Annuar dalam membina sebuah Liawan Terurus dan Liawan Maju – berlandaskan tindakan konsisten dan bukan sekadar retorik politik.
Daripada memperjuangkan penambahbaikan infrastruktur sehinggalah menyelesaikan isu-isu harian rakyat, beliau tampil sebagai pemimpin yang dekat dengan denyut nadi masyarakat dan tidak pernah memilih waktu untuk berkhidmat.
Keprihatinan beliau jelas terbukti, bukan sahaja melalui pelaksanaan dasar, tetapi menerusi kehadiran berterusan di lapangan – baik dalam musim pilihan raya mahupun di luar musim, ketika ramai lain sudah menyepi.
Dalam landskap politik yang kian dipenuhi agenda, angka dan slogan, Annuar dan Tengku Adlina kekal teguh memilih jalan kemanusiaan – menyantuni rakyat dengan keikhlasan, mendengar rintihan tanpa syarat dan menabur bakti tanpa mengira masa.
Pemimpin seperti ini bukan sahaja dirindui, tetapi terus ditagih oleh rakyat – bukan kerana pangkat atau gelaran, tetapi kerana kehadiran yang konsisten dan ikhlas. – pr/BNN